KOTA KINABALU: Ditendang, ditampar, rambut ditarik.
Itu perlakuan kejam seorang pengasuh wanita terhadap seorang kanak-kanak di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Jalan Kampung Seronok Nosoob, Penampang di sini.
Lebih memilukan, ketika hendak makan, kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun ditampar dan dipukul guna pembaris di bahagian muka dan kepala berkali-kali.
Video rakaman litar tertutup (CCTV) mengenai kejadian itu tular di media sosial sejak petang tadi.
Ayah kepada kanak-kanak terbabit yang enggan dikenali berkata, dia sendiri tidak sanggup melihat rakaman video daripada CCTV aksi anaknya ditendang, ditampar dan dipukul guna pembaris berkali-kali.
“Saya sendiri tidak sanggup lihat rakaman video daripada CCTV anak saya ditendang dan ditampar di bahagian muka dan kepala.”
“Ibu bapa mana tidak sedih anak diperlakukan sedemikian.”
“Malah lebih memilukan saya, ketika hendak makan, anak saya turut ditempar dan dipukul guna pembaris berkali-kali,” kata sebak.
Menceritakan kejadian itu, beliau berkata, sudah dua kali anak menjadi mangsa dera sejak bersekolah di taska berkenaan yang bermula pada Mac lalu.
Katanya, kejadian pertama dua minggu lalu selepas isterinya perasan terdapat kesan lebam di bahagian tangan anaknya sebaik diambil dari taska berkenaan.
“Pada mulanya anak saya mengatakan dipukul oleh guru (pengasuh) namun mengubah (dengan) mengatakan kawan-kawan pukul.’
“Tetapi seminggu kemudian isteri melihat kesan lebam lain di bahagian dada anak kami sebelum bertanya kepada pihak taska.”
“Pihak taska hanya memberikan jawapan bahawa itu adalah perkara biasa kerana kemungkinan anak kami bergaduh dengan rakan-rakan di taska terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mereka menerima jawapan itu dan menghantar anak mereka seperti biasa ke taska berkenaan sehinggalah anak mereka mengadu sakit di bahagian kepala.
“Semalam, sebaik menjemput anak kami di taska itu, isteri saya mengusap ubun-ubun anak kami sebelum anak saya mengadu sakit di bahagian kepala.”
“Isteri saya memeriksa bahagian berkenaan dan alangkah terkejutnya kami kerana terdapat kesan luka di bahagian kepala.”
“Saya terus bertanya kepada pihak taska namun mereka tiada jawapan mengenai kesan luka itu,” katanya.
Bagaimanapun katanya, dia tidak dapat bersabar dan terus meminta untuk memeriksa CCTV di taska berkenaan sebelum melihat rakaman anaknya didera dengan ditampar, ditendang dan rambut ditarik.
“Saya cuba mendapatkan kepastian daripada pihak taska termasuk pemilik bagaimanapun tiada sebarang jawapan sahih yang diperolehi sebelum saya membuat keputusan untuk membuat laporan polis.
“Pengasuh itu hanya mengakuinya manakala guru besar taska turut memaklumkan pengasuh terbabit adalah seorang yang lemah lembut. Namun rakaman CCTV itu menunjukkan perkara sebaliknya,” katanya.
Tambahnya, mereka kesal kerana pihak taska tidak mengambil serius aduan yang mereka berikan berkenaan kesan lebam pada badan anaknya sebelum ini.
Katanya, ketika dihantar buat kali pertama di taska terbabit pada Mac lalu, pengasuh itulah yang menerima anaknya dan tidak hairanlah anaknya seperti tidak gembira setiap kali dihantar ke taska itu.
“Kami telah membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Aru untuk tindakan selanjutnya, perkara ini tidak boleh dibiarkan berlaku secara berleluasa untuk mengelakkan lebih ramai kanak-kanak yang dihantar di taska itu menerima nasib sama.”
“Isteri saya juga masih trauma dengan kejadian ini lebih-lebih lagi isteri saya sedang mengandung anak kedua dan saya harapkan pihak berkuasa menjalankan tindakan sepatutnya kepada pihak taska ini,” katanya.
Katanya lagi, anaknya kini sedang mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth (HQE) bagi mengenal pasti kecederaan yang dialami kesan daripada perbuatan kejam pengasuh itu.