HULU SELANGOR: Seorang bapa menemui mayat anak lelakinya lemas di lombong Tasik Kiambang, Serendah, di sini, hari ini, selepas dipercayai terjatuh ketika memancing di lokasi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata mangsa berusia 26 tahun ditemui di lokasi kejadian.
Terdahulu, katanya, pihaknya menerima maklumat daripada pengadu warga tempatan melalui talian kecemasan MERS 999 pada jam 2.47 petang menyatakan anak lelakinya lemas di lombong.
“Apabila polis tiba di lokasi, didapati mangsa telah meninggal dunia,” katanya menerusi kenyataan.
Ahmad Faizal berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat, berkata sepasukan lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 2.47 petang.
Beliau berkata, menurut laporan awal, mangsa ditemui terapung di gigi air lombong Tasik Kiambang.
“Menurut maklumat keluarga, mangsa dikatakan hilang sejak malam semalam,” katanya.