comscore
Tumpuan :
Nasional

Bapa saudara hempas bayi 40 hari ke lantai, campak budak 3 tahun dari tingkat 1

Ahli keluarga mangsa diambil keterangan di lokasi kejadian. – Tangkap layar daripada video tular

GEORGE TOWN: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dicampak dari tingkat satu oleh bapa saudaranya, dalam satu kejadian di sebuah pangsapuri di Sungai Pinang di sini.

Kejadian menyebabkan mangsa cedera di mulut serta patah kaki kiri.

Manakala, adiknya yang juga bayi perempuan yang baru berusia 40 hari, mengalami pendarahan di bahagian kepala selepas dipercayai dihempas ke lantai oleh suspek.

Dalam kejadian jam 3.40 petang itu, difahamkan, suspek berusia 29 tahun turut mengelar pergelangan tangan kanannya sebelum mencederakan kedua-dua mangsa.

Seorang ahli keluarga yang hanya mahu dikenali sebagai Taiyoob, 31, berkata, terdahulu, dia terdengar jeritan ibunya meminta tolong sebelum mendapati suspek yang juga adik lelakinya berada dalam keadaan berbogel serta berlumuran darah.

Katanya, kejadian berkenaan berlaku dengan pantas dan dia turut mendapatkan bantuan jiran bagi menenangkan suspek.

Foto : NSTP

“Ahli keluarga yang lain menyelamatkan kedua-dua anak kakak saya itu sebelum menghantar mereka ke hospital.

“Adik saya (suspek) turut mendakwa terdengar ‘bunyi bisikan’ sebelum mencederakan kedua-dua anak saudara,” katanya di sini, hari ini.

Difahamkan, bayi dan kanak-kanak itu berada di kediaman berkenaan yang juga rumah nenek mereka, berikutan ibunya masih dalam tempoh berpantang.

Taiyoob memohon orang ramai supaya tidak menularkan kejadian itu bagi menjaga privasi keluarga.

“Diharap, semua pihak faham keadaan dan hormati pendirian keluarga bagi tidak mengulas lanjut.

“Suspek adalah adik saya sendiri dan dia sedang menerima rawatan tradisional kerana mempunyai masalah kesihatan sejak dua bulan lalu,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh,” katanya.

Loading...
Terkini