comscore
Tumpuan :
Nasional

Bapa reda jika rangka ditemui milik anaknya

BATU PAHAT: Bapa kepada seorang remaja yang dilaporkan hilang sejak 25 Mei lepas reda sekiranya rangka manusia yang ditemui bersama motosikal di sebuah kebun durian di Jalan Yong Peng-Muar di sini semalam adalah milik anaknya.

Abd Halid Sugiman, 44, bapa kepada remaja yang hilang Hafiz Fauzan Abd Halid, 17, berkata ‘Hafiz’ yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik sangat berminat dengan bola sepak.

“Jika dia masih ada, pada penghujung tahun ini dia akan mewakili Johor untuk pertandingan bola sepak peringkat kebangsaan antara sekolah menengah agama (SMA).

“Kelibatnya yang lincah bermain di bahagian sayap akan tetap kami sekeluarga ingati, selain turut berkongsi minat bermain bola sepak bersama abang sulungnya, Haris Zhafran,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Bandar Putera Indah di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Abd Halid yang merupakan seorang guru agama Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Dayong, anaknya itu sememangnya seorang anak yang baik selain turut aktif dalam pertandingan nasyid dan sifatnya itu akan mereka sekeluarga ingat sampai bila-bila.

“Saya juga masih teringat kata-kata Hafiz seminggu sebelum dia hilang yang dia akan tetap berada di sini (Batu Pahat) walau apa yang terjadi, termasuk tidak akan mengikutnya jika berpindah ke Selangor…ini kerana pada awal tahun, saya ada memohon untuk berpindah balik ke kampung asal saya di Tanjung Karang,” katanya.

Semalam, polis mengesahkan penemuan rangka manusia dalam kebun durian yang disyaki milik Hafiz Fauzan, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama (SMA) Parit Raja selepas dilaporkan hilang pada 25 Mei.

Turut ditemui motosikal hampir sama digunakan Hafiz berdasarkan nombor pendaftaran seperti dihebohkan ahli keluarganya di media sosial selepas kehilangannya.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini