KUALA LUMPUR: Bapa kepada pelakon Buzen, pelakon veteran, Hashim Abdul Rahman, 75, meninggal dunia pagi tadi.
Allahyarham menghembuskan nafasnya di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak akibat komplikasi pelbagai penyakit.
Berita sedih menimpa pelakon yang membintangi pelbagai drama dan filem popular tempatan selain pernah memegang jawatan Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) pada 1991 itu disahkan oleh anak lelakinya yang juga pelakon, Buzen Hashim.
Hashim meninggal dunia jam 6.45 pagi.
Allahyarham dilaporkan sudah lebih seminggu terlantar di HRPB akibat beberapa komplikasi penyakit termasuk diabetes dan masalah buah pinggang.
Jenazah akan dibawa pulang ke Kuala Lumpur untuk disolatkan di Masjid Jamek Kampung Baru serta dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, selepas solat Asar.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, tiga cahaya mata dan sembilan cucu.