Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Bapa mengaku bersalah 27 pertuduhan rogol, cabul 3 anak kandung 

MUAR: Seorang buruh ladang yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini mengaku bersalah atas 27 daripada 34 pertuduhan rogol dan cabul tiga anaknya sejak 2012 sehingga bulan lalu hingga menyebabkan seorang daripada mereka kini hamil tujuh bulan.

Tertuduh berusia 41 tahun itu membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Berdasarkan pengakuan bersalah tertuduh bagi 27 pertuduhan itu, dia boleh dikenakan penjara maksimum 654 tahun dan  150 kali sebatan.

Bagi baki tujuh lagi pertuduhan, tertuduh memohon dibicarakan.

Sebanyak 20 pertuduhan dikenakan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan Seksyen 16 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 iaitu merogol dua anak kandungnya yang kini berusia 17 dan 18 tahun.

Manakala 10 lagi pertuduhan mengikut Seksyen 14 (b) yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.

Satu tuduhan bagi Seksyen 14 (a) manakala baki tiga pertuduhan, mengikut Seksyen 377D kanun sama.

Tujuh pertuduhan yang dia mengaku tidak bersalah ialah lima bagi Seksyen 376 (3) manakala masing-masing satu pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 377D.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa merogol dua anaknya sejak mereka berusia sembilan dan 10 tahun di enam lokasi berasingan dalam daerah ini.

Kejadian rogol dan cabul membabitkan anak keduanya yang kini hamil tujuh bulan berlaku pada 2012 ketika mangsa berusia lapan tahun dan  berlarutan sehingga Jun lalu.

Anak sulungnya pula dirogol dan dicabul sejak 2015 ketika mangsa berusia 10 tahun dan kali terakhir pada 15 Disember 2022.

Seorang lagi anaknya yang kini berusia 12 tahun pula dicabul ketika berusia enam tahun dengan kejadian terakhir berlaku pada Oktober lalu.

Semua kejadian itu berlaku di enam lokasi berasingan memandangkan tertuduh dan ahli keluarganya kerap berpindah.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) dia boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun serta 10 sebatan bagi setiap pertuduhan dan juga tambahan hukuman bagi Seksyen 16 akta sama, penjara lima tahun dan juga dua sebatan.

Seksyen 14 (a) dan 14 (b) pula, tertuduh boleh penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan serta tambahan hukuman Seksyen 16 (1), penjara lima tahun serta dua sebatan sementara Seksyen 377D penjara sehingga dua tahun.

Menurut fakta kes, perbuatan terkutuk itu terbongkar apabila ibu saudara mangsa mendapati perubahan fizikal terhadap anak kedua tertuduh sebelum menjalani ujian pemeriksaan dan mendapati dia sedang hamil.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, tertuduh ditahan pada 28 Oktober lalu dan didapati positif dadah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
​​​​​​​
Hakim menetapkan 16 November ini untuk penyediaan fakta kes, menjatuhkan hukuman serta sebutan semula bagi tujuh kes yang tertuduh mengaku tidak bersalah.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini