Tumpuan :
Kemalangan

Bapa maut, anak 6 tahun cedera dalam perjalanan ke sekolah

Seorang penunggang motosikal maut ketika menghantar anak perempuannya ke sekolah, pagi tadi. – FOTO: Ihsan PDRM

TANJUNG MALIM: Seorang bapa maut ketika menghantar anak perempuannya ke sekolah selepas motosikal ditunggang mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer (KM) 122 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur arah utara di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.12 pagi itu, Muhammad Asri Shahrul Nizam, 26, dari Kampung Ketoyong, Tanjung Malim meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anaknya, Puteri Hanamia Malaika berusia enam tahun cedera di kedua-dua belah tangan dan kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir, berkata nahas membabitkan motosikal mangsa jenis Suzuki dan kereta Proton Persona.

“Siasatan awal mendapati, ketika kejadian kereta dipandu seorang wanita berusia 44 tahun dipercayai dalam perjalanan dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Ketoyong ke Slim River mahu mengubah laluan dari kiri ke lorong kanan, sebelum secara tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa dari arah Tanjung Malim melanggar bahagian belakang sebelah kanan kereta terbabit.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa bersama anak perempuannya terjatuh di jalan raya. Bagaimanapun, pemandu kereta yang juga seorang guru itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini