comscore
Tumpuan :
Nasional

“Bapa mana yang tak sedih apabila anak terkorban dalam keadaan begini….”

Azhar tiba untuk melihat jenazah anaknya, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar di Bilik forensik di Hospital Sultan Ismail, Johor. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: “Bapa mana yang tak sedih apabila anak terkorban dalam keadaan begini, namun saya reda dan hanya berserah kepada Allah,” kata bapa Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, Azhar Khaiden, 54.

Azhar berkata, kenangan bersama anak keempatnya dalam lapan adik-beradik itu akan dibawa sampai ke mati dan jika boleh, perasaan sedih hanya disimpan dalam hati.

Menurutnya, khabar duka mengenai arwah Ahmad Azza Fahmi yang maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor diterimanya pada jam 2.53 pagi hari ini daripada Timbalan Ketua Balai Polis berkenaan.

Bagaimanapun, pada awalnya Azhar menyangka anaknya terbabit dalam kemalangan jalan raya.

“Saya terkilan apabila diberitahu Ahmad Azza Fahmi sudah tiada akibat serangan yang berlaku di balai polis. Saya kemudian memaklumkan kejadian itu kepada isteri, Nurhaliza Awaluddin,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir mereka bertemu adalah pada Ramadan lalu dan arwah bercuti hampir dua minggu di Bidor, Perak.

“Kami sekeluarga juga saling menghubungi dan selepas waktu Maghrib semalam arwah juga menghantar mesej seperti biasa dan tiada sebarang perubahan.

“Dia tidak dapat pulang beraya kerana baharu bertugas sebagai anggota polis iaitu sejak dua tahun lalu di Johor selepas menamatkan latihan di Langkawi.

“Dia menyambut hari kelahiran pada Januari lalu dan segala kenangan bersamanya kekal di hati dan dibawa sehingga akhir hayat,” katanya.

Azhar yang merupakan guru Matematik dan Sejarah Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Sungai Kelah Sungkai, Perak, berkata, dia reda dengan pemergian anaknya dan yakin pihak berkaitan akan menjalankan siasatan.

“Saya tidak terkilan dia bekerja sebagai anggota polis, abangnya juga anggota polis di Sabah manakala adik perempuannya akan menghadiri sesi temuduga minggu depan dan diharap semua lancar.

“Arwah memang bercita-cita menjadi anggota polis sejak kecil, kita semua yang hidup, kehidupan ditentukan-Nya

“Kalau kita menangis air mata berdarah, orang yang pergi tetap pergi, kita kena terima dan teruskan kehidupan.

“Suspek pula sudah meninggal dunia, kita hanya serah berserah kepada Maha Esa untuk pengadilan di sama.

“Tindakan kita ambil bukan jalan penyelesaian, pihak berkuasa ada undang-undang dan juga pengadilan di sana.

Saya tidak dinafikan anak saya merupakan seorang yang baik,” katanya.

Azhar berkata, pada awalnya keluarganya bercadang untuk membawa pulang jenazah pada hari ini namun atas faktor tertentu, urusan berkenaan diadakan esok.

“Dia akan dikebumikan di Perak dan saya berdoa supaya dia tenang di sana,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini