Tumpuan :
Nasional

Bapa mahu kebenaran disebalik kematian Dea Maisarah dirungkai

Bada Hussein mahu kebenaran disebalik kematian Dae Masarah dirungkai.

KLANG: Bapa kepada Dea Maisarah, kanak-kanak 10 tahun yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) mahu kebenaran disebalik kematian anak sulungnya itu dirungkai.

Bada Hussein, 48, berkata pengelasan kematian iaitu ‘Brought in Dead’ (BID) dalam sijil atau permit pengebumian adalah palsu dan tidak benar.

Artikel berkaitan: Kematian Dea Maisarah : ‘Kita tunggu laporan polis’ – Zaliha

“Kita sedia maklum, anak saya masih hidup dengan saya ada bukti termasuk resit pembayaran. Ramai juga mempersoalkan supaya saya reda, memang reda tetapi amar maaruf dan nahi mungkar. Kejahilan kita cegah.

Jadi dengan masalah ini, pembohongan pihak-pihak berkenaan wajib dibongkarkan. Kita mahukan keadilan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Bada yang juga peniaga makanan itu, beliau tidak mahu perkara tersebut berulang kembali dengan individu lain akan mengalami nasib sama seperti anaknya.

Katanya, cukuplah anaknya yang terakhir menderita akibat kecuaian pihak yang berkenaan.

Artikel berkaitan: “Anak saya meronta-ronta, ayah tolong lepaskan saya” -Bapa Dea Maisarah

Beliau akan membuat laporan polis hari ini bagi memastikan punca sebenar kematian anaknya dibongkar.

Sementara itu, peguam yang mewakili Bada, Hafiz Norkhan berkata insiden yang menimpa Dea adalah serius dan memerlukan siasatan telus pihak berkuasa.

“Perkara ini adalah satu isu yang besar di negara kita apabila dalam kes dokumentasi pengisytiharan kanak-kanak itu disahkan BID.

Bermula pada hari ini, kita akan beri keterangan menerusi laporan polis tentang apa berlaku daripada perspektif anak guam saya yang ada masa kejadian. Kerjasama akan diberikan dan mohon siasatan telus.

Setakat ini, saya dapat arahan ambil tindakan saman sivil terhadap HTAR serta Kementerian Kesihatan dan saman ini bukan bersifat materialistik,” katanya.

Loading...
Terkini