comscore
Tumpuan :
Nasional

Bapa mabuk, maut dipukul anak

SEREMBAN: Seorang lelaki maut disyaki dipukul hingga mati oleh anaknya selepas tercetus pergaduhan antara mangsa dan suspek.

Kejadian berlaku di hadapan rumah di Taman D’Ambang Kota, Lukut, Port Dickson kira-kira jam 12.45 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata polis menerima panggilan dari seorang lelaki mengatakan bapanya (mangsa) sudah tidak sedarkan diri.

“Pembantu Pegawai Perubatan yang datang dari Klinik Kesihatan Bukit Pelandok mengesahkan kematian di tempat kejadian jam 1.15 pagi tadi dan mayat kemudiannya terus dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Katanya, hasil siasatan polis mendapati sebelum kejadian si mati didapati mabuk.

“Mangsa dipercayai bergaduh serta dipukul oleh anak lelakinya (suspek) yang tidak berpuas hati kerana si mati dipercayai mengeluarkan perkataan kesat dan membuat bising.

“Simati berumur 49 tahun adalah bapa kepada suspek yang berumur 26 tahun dan semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing adalah negatif,” katanya.

Aidi Sham berkata, suspek terus ditangkap polis hari ini jam 1.20 pagi di hadapan rumah Taman D’Ambang Kota, Lukut, Port Dickson.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Mahkamah Seremban dan reman dibenarkan selama lima hari bermula hari ini sehingga 9 Ogos nanti.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Loading...
Terkini