KUALA BERANG: Keluarga berharap Muhammad Adam Shazwan, 15, dapat ditemukan segera.
Bapa remaja itu Mokhtar Mohamad, 63, berkata mengetahui kejadian yang menimpa anak bongsunya itu daripada pihak polis yang datang ke rumahnya kira-kira pukul 4.30 petang Jumaat lalu.
Menurutnya, anaknya sememangnya selalu ke sungai untuk bersantai bersama rakan-rakannya namun tidak selalu turun ke dalam sungai untuk mandi.
Katanya, anaknya cuma kerap memancing, bagaimanapun sejak empat hari lalu anaknya kerap mandi sungai sehinggalah dimaklumkan hilang dipercayai lemas.
“Saya tidak pasti pukul berapa dia keluar rumah dan sedar ketiadaannya apabila memanggil namanya untuk ajak makan bersama-sama selepas saya pulang dari solat jumaat.
“Saya amat terkejut dan seperti tidak percaya ketika beberapa anggota polis datang ke rumah memberitahu anak saya dipercayai lemas.”Adam tidak mahir berenang dan saya berharap anak saya segera ditemui,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurutnya, sebelum kejadian anaknya itu turut melakukan aktiviti menahan pukat kerana ketika itu paras sungai tidak begitu dalam.

Katanya, dia tidak menyangka arus sungai bertukar deras dan laju hingga mengakibatkan anaknya tidak dapat diselamatkan rakan yang bersamanya ketika itu.
Mokhtar berkata, tiada sebarang perubahan dilihat pada anaknya dan sebagai bapa dia cuma berharap anak bongsu dari enam beradik itu segera dijumpai dan dia reda dengan kejadian yang berlaku.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Jumaat lalu, mangsa, Muhammad Adam Shazwan Mokhtar, 15, dipercayai hanyut ketika sedang berenang bersama seorang rakannya, Putra Azim Fahmi Azmi, 16.