comscore
Tumpuan :
Nasional

Bapa dakwa anaknya ditekup dengan bantal

Bapa bayi lapan bulan yang meninggal dunia, Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim. FOTO: NSTP

ALOR GAJAH: Seorang bapa mendakwa anaknya ditekup dengan bantal sehingga membawa kepada kematian bayi itu  di sebuah TASKA di Kelemak, di sini, hari ini.

“Pengasuh bedung anak saya, dia sumbat botol susu, tutup dengan kain dan tekup muka dengan bantal. Itu memang saya tidak boleh terima,” itu dikongsi Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, bapa kepada bayi lelaki lapan bulan yang mulanya ditemui tidak sedarkan diri di sebuah TASKA.

Mohd Fikry Amri berkata, pada awalnya dia boleh terima sekiranya anak tunggalnya itu tersedak susu kerana kejadian seperti itu berlaku di luar jangkaan.

“Memang saya terkejut (apabila diberitahu), saya mula-mula boleh terima kalau meninggal sebab tersedak susu kerana itu di luar kawalan dan kita tidak tahu tetapi apabila melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV), saya memang tidak percaya.

“Saya sendiri tengok dengan polis. Berdasarkan rakaman kejadian berlaku dalam sekitar jam 8 pagi,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Alor Gajah, di sini malam ini.

Beliau berkata, dia mengetahui kejadian menimpa anaknya pada jam 9 pagi tadi sebaik menerima panggilan telefon mengenai keadaan bayinya sudah biru selain mulut turut keluar darah.

“Setibanya di TASKA, isteri mendapati anak kami sudah tidak sedarkan diri dan muka sudah bertukar biru selain mulutnya juga berdarah.

“Isteri kemudian terus bergegas membawa anak ke Hospital Alor Gajah meskipun pihak TASKA meminta dibawa ke klinik kesihatan. Bagaimanapun sebaik tiba di hospital bayi kami disahkan sudah tiada,” katanya.

Mohd Fikry Amri yang bertugas di Kem Perdana, Sungai Besi, memaklumkan, anaknya itu baru lima hari dihantar ke TASKA berkenaan memandangkan isterinya akan mula berkerja tidak lama lagi selepas kira-kira setahun cuti tanpa gaji.

“Kami menanti 13 tahun untuk dikurniakan anak dan selepas lima hari dihantar ke TASKA, tidak sangka pula hal ini berlaku.

“Saya harap benda ini dapat diambil tindakan supaya tidak berlaku pada anak-anak yang lain,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini