Tumpuan :
Nasional

Bapa bayi rentung dalam nahas meninggal dunia 

KOTA BHARU: Selepas lapan hari bertarung nyawa, mangsa kemalangan yang turut membabitkan bayi rentung di Kilometer 69, Jalan Kota Bharu-Gua Musang pada 27 November lalu, meninggal dunia pagi ini.

Wan Shahrizat Azwan Wan Shahril, 28, yang juga pemandu Honda Jazz cedera parah akibat melecur seluruh tubuh selepas kereta yang dipandunya terbakar kerana merempuh pembahagi jalan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, sebelum ini arwah dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai, namun dipindahkan ke HRPZ II atas permintaan keluarga pada 28 November.

“Arwah pada ketika itu masih berada dalam keadaan kritikal dan dipantau rapi oleh doktor selain perlu bergantung sepenuhnya kepada mesin bantuan pernafasan.

“Bagaimanapun, pagi tadi beliau meninggal dunia selepas lapan hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPZII,” katanya ketika dihubungi.

Media sebelum ini melaporkan, allahyarham  bersama dua lagi kenderaan lain dalam perjalanan pulang secara berkonvoi dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu sebelum kenderaan  terbabas mengakibatkan bayinya maut, manakala isterinya cedera ringan.

Bayi mereka Wan Sabeena Arisha Wan Shahrizat ditemukan rentung berhampiran kereta Honda Jazz selepas kenderaan dinaiki bersama ibu bapanya terbakar selepas melanggar pembahagi jalan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini