Oleh: Farah Nabilah Wazer
KUALA LUMPUR: Pihak sekolah diingatkan untuk menyerahkan sepenuhnya Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 kepada ibu bapa atau penjaga tanpa sebarang potongan untuk yuran mahupun kegunaan lain.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, bantuan itu adalah hak murid dan perlu digunakan sepenuhnya untuk persiapan persekolahan.
Tegasnya, dana itu diperuntukkan bagi memastikan murid mempunyai kelengkapan mencukupi untuk memulakan sesi persekolahan dengan lancar.
Tambah beliau, semua pihak perlu memastikan pengagihan BAP dilaksanakan secara telus dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Pihaknya akan mengambil tindakan sekiranya terdapat pelanggaran atau penyalahgunaan dana tersebut.
Beliau ditemui dalam Majlis Penyerahan Cek Cura BAP 2025 di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Kerajaan memperuntukkan RM791.25 juta untuk pemberian BAP secara sekali bayar dengan memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta murid seluruh negara.
Penyerahan BAP bermula hari ini untuk murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 bagi sesi persekolahan 2024/2025.
Bagi murid Tingkatan 6 Semester 2 dan Tahun 1 sesi persekolahan 2025/2026, agihan akan bermula pada 16 Februari depan, manakala murid Tingkatan 6 baharu akan menerima BAP bermula 1 Julai.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.