KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, penerbitan filem berunsurkan patriotik dan epik sejarah perlu dibanyakkan bagi menyemarak dan mengukuhkan lagi semangat perpaduan serta kenegaraan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Istana Negara menerusi catatan di Facebook rasminya memaklumkan, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa fenomena dicetuskan menerusi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan boleh menjadi contoh dan inspirasi kepada industri perfileman negara.
Katanya, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat menonton filem Mat Kilau di The Gardens Mall, semalam.
“Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan tahniah kepada syarikat penerbitan, pengarah dan barisan pelakon atas kejayaan mengungguli senarai filem tempatan paling laris pernah diterbitkan dalam sejarah perfileman negara, hampir mencecah RM100 juta,” kata catatan itu.
Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut warga syarikat penerbitan filem, Studio Kembara Sdn Bhd dan beberapa pelakon filem berkenaan.
Al-Sultan Abdullah turut bangga dan kagum dengan mutu filem serta lakonan dijayakan syarikat penerbitan tempatan, barisan produksi, pelakon dan sambutan hebat rakyat terhadap filem berkenaan.
Selain mencetuskan fenomena selepas ditayangkan dalam negara pada 23 Jun lalu, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang diarahkan Syamsul Yusof turut ditayangkan di Indonesia bermula 31 Ogos lalu. – BERNAMA