comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Banyak pengkalan haram seberang ke Golok’

FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Pengkalan haram yang terlalu banyak dibina oleh penduduk menyebabkan ramai rakyat di negeri ini mengambil jalan mudah dengan cara menyeberangi sungai untuk ke Golok.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kebanyakan tanah di sepanjang Sungai Golok adalah milik persendirian penduduk dan bukannya rizab sungai.

Katanya, jika rakyat menggunakan laluan sah iaitu melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) ia tidak menjadi masalah, sebaliknya yang sukar untuk dijaga adalah masuk secara haram.

“Dalam hal ini kita tidak boleh sekat rakyat untuk menyeberang ke sana sebab kita tidak tahu apa tujuan mereka ke sana.

“Kebanyakan perkara yang tidak baik ini berlaku melalui pengkalan haram dan walaupun pihak keselamatan sudah mengadakan kawalan yang terlalu ketat, namun ia tetap juga berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Perasmian Kongres Antarabangsa Rafflesia Kelantan 2024 di Renai Hotel, di sini, hari ini.

Beliau berkata, cadangan pembinaan tembok sempadan Malaysia-Thailand di sepanjang Sungai Golok hampir 100 kilometer dijangka mampu mengekang jenayah penyeludupan barangan terlarang termasuk yaba atau pil kuda selain menjadi tebatan banjir.

“Adalah agak mustahil untuk pihak keselamatan menjaga sempadan sepanjang itu dan dalam hal ini pihak kerajaan negeri mencadangkan kepada kerajaan persekutuan untuk membina tembok.

“Pihak polis sentiasa menjaga sempadan daripada aktiviti rentas sempadan, namun disebabkan banyak sangat pengkalan haram ia menjadi permasalahannya dan sukar untuk dikekang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini