comscore
Tumpuan :
Nasional

Banyak organ dalaman rosak, keluarga Mat London bersedia sebarang kemungkinan 

KUALA LUMPUR: Keluarga Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau Mat London, 74, sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan berikutan kesihatannya pada tahap kritikal.

Anak keempatnya, Salmany Akir Ahmad, 42, berkata bapanya kini bergantung sepenuhnya kepada mesin oksigen dan berada di wad pengasingan Unit Rawatan Rapi (ICU).

Artikel berkaitan: Mat London kritikal, ditidurkan

“Doktor cakap memang sukar dan jantung sudah tidak kuat. Bila tengok keadaan papa, rasa akan kehilangan dia pun ada juga. Dalam tempoh dua hari ini, dia memang tidur terus.

“Saya ada melawatnya, semalam. Bila saya bercakap dengannya, ada tindak balas seperti mengangguk. Rasa macam ada harapan sedikit juga. Tetapi itulah, kena terima sebarang kemungkinan,” katanya.

Memasuki hari ke-18 ditahan di hospital, Salmany berkata, Mat London tidak menunjukkan peningkatan daripada segi pernafasan selain banyak organ dalaman rosak.

“Doktor ada lakukan ujian berkala untuk beri papa bernafas sendiri, tetapi memang tak boleh. Paru-paru dan buah pinggangnya pun memang sudah rosak,” katanya.

Terdahulu, pengarah dan pelakon yang dikenali dengan watak Pak Karim menerusi drama Kampong Pisang Bersiri-siri ini dirawat di ICU Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 16 Jun lalu akibat jangkitan paru-paru.

Mat London kemudian terpaksa dipindahkan ke ICU pengasingan bagi tujuan pemantauan rapi.

Susulan paras oksigen rendah dan kadar degupan jantungnya lemah, Mat London terpaksa ditidurkan.

Mat London turut mengalami pelbagai komplikasi penyakit lain yang turut menjejaskan kesihatannya.

Loading...
Terkini