SIK: Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menempuh perjalanan jauh untuk membawa seorang pesakit yang mengalami sesak nafas mendapatkan rawatan ke hospital disebabkan banyak laluan terputus akibat banjir di daerah ini, semalam.
Kejadian dipercayai berlaku ketika lelaki terbabit berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Chichak, di sini, malam tadi.
Lelaki itu dikatakan baru berpindah ke PPS itu bersama keluarganya pada jam 4 petang semalam selepas rumahnya di kawasan kampung itu dinaiki air.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya juga tekad meredah limpahan air dan cuaca gelap.
Beliau berkata, isteri lelaki itu memaklumkan sebelum ini suaminya tidak pernah mengalami masalah kesihatan namun mengakui kemungkinan cuaca amat sejuk dan keluarganya sedang menunggu khemah bencana untuk ahli keluarganya.
“Bagaimanapun, kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bertugas di PPS itu bertindak menghubungi BBP Sik dan operasi diketuai saya sendiri bersama kekuatan anggota seramai lapan orang yang kebetulan ketika itu sedang melakukan operasi penyelamatan mangsa banjir di kawasan Jeniang dan Jeneri.
“Difahamkan tiada ambulans atau kenderaan utiliti lain boleh memasuki kawasan itu disebabkan laluan itu dipenuhi limpahan air namun kami tekad meredah laluan itu untuk melakukan penyelamatan.
“Bomba mengambil masa perjalanan kira- kira 40 minit untuk membawa mangsa ke Hospital Sik untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Zulkhairi berkata, beliau menasihatkan mangsa yang terjejas banjir yang berpindah ke PPS supaya memaklumkan rekod kesihatan kepada pasukan perubatan bertugas untuk memudahkan sebarang urusan.