PASIR GUDANG: Keluarga pasangan suami isteri, Mohd Ridzwan Mohd Rudi, 37 dan Linda Mohd A Aziz, 35 yang maut selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh pemandu kereta dipercayai di bawah pengaruh alkohol, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu terbabit.
Ibu Mohd Ridzwan, Ramlah Kasiran, 56, berkata, tindakan itu bukan sahaja sebagai pengajaran tetapi bagi membela nasib lima cucunya yang kini bergelar yatim piatu.
Katanya, dia trauma dengan kejadian menimpa anak dan menantu akibat kesalahan orang lain.
“Saya reda dengan ketetapan dan ketentuan Allah SWT, tetapi tindakan undang-undang terhadap pelaku mesti dikenakan.
“Banyak kisah pemandu mabuk hanya didenda yang mana jumlah itu tidak setimpal dengan penderitaan dan kesengsaraan dihadapi keluarga terutama anak-anak yang ditinggalkan tanpa apa-apa seperti cucu-cucu saya.
“Ya makcik akan saman. Esok, insya-Allah peguam yang menguruskan kes kemalangan anak keenam saya akan ziarah kami dan berbincang hal ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Flat Taman Cendana di sini, hari ini.
Menurut Ramlah, jika ditakdirkan kemenangan berpihak kepadanya, ia boleh digunakan untuk menyara lima cucunya pada masa akan datang.
Katanya, anak yang lain membantu sekadarnya kerana masing-masing mempunyai keluarga dan tanggungan.
“Arwah anak dan menantu meninggalkan lima anak mereka, perjalanan hidup mereka masih panjang. Makcik doa supaya Allah SWT panjangkan usia makcik dan pakcik untuk menyara mereka semua sehingga boleh berdikari sendiri.
“Makcik takut kalau makcik ‘pergi’ dulu, mereka tiada simpanan dan tiada kewangan. Makcik tidak bekerja, hanya pakcik yang bekerja sebagai pemandu ‘forklift’ di sebuah pasar raya.
“Alhamdulillah, dari semalam tidak putus-putus orang datang ziarah makcik dan cucu, ada perseorangan, ada badan bukan kerajaan, syarikat, pihak sekolah cucu juga ada ziarah dan hulurkan sumbangan. Hanya Allah yang mampu membalas budi mereka.
“Pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga ada datang ziarah dan membawa borang bantuan, untuk cucu-cucu makcik,” katanya.
Kemalangan itu menyebabkan lima anak pasangan terbabit iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, (Orang Kurang Upaya), Muhammad Ikmal Danish, 15, Nur Shahkira Mohd Ridzwan, 14, Nur Shahmira Mohd Ridzwan, 12, dan Nur Aisyah Humairah Mohd Ridzwan, 3 menjadi yatim piatu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.