KUALA LUMPUR: Bantuan tunai subsidi diesel untuk pemilik kenderaan individu (BUDI Individu) akan disalurkan mulai Rabu ini membabitkan peruntukan hampir RM25 juta.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata wang itu akan disalurkan kepada lebih 120,000 pemilik kenderaan diesel yang permohonan bantuan mereka diluluskan sebelum ini atau sehingga 30 Jun lalu.
“Kerajaan telah menyalurkan peruntukan bantuan hampir RM50 juta di bawah BUDI Individu untuk dua bulan pertama pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
“Penerima sedia ada ini telah disemak silang dengan data terkini oleh agensi kerajaan melalui Lesen Kenderaan Motor dan cukai jalan yang kekal aktif dan menepati syarat kelayakan BUDI Individu,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Jelas beliau, pemilik kenderaan diesel yang baru memohon dan diluluskan dalam bulan ini, bantuan RM200 akan disalurkan kepada mereka mulai 7 Ogos depan.
“Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan mereka yang layak untuk BUDI Individu menerima manfaat bantuan ini dengan kadar segera supaya pelaksanaannya berkesan untuk menampung impak kos sara hidup kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa