Oleh: Zahir Senapiah
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menyumbang RM2 juta kepada rakyat Palestin menerusi Misi Bantuan Kasih Johor-Palestin.
Exco Hal Ehwal Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata bantuan itu dijangka tiba di bumi Palestin akhir bulan depan sebelum diagihkan.
“Ketika ini persiapan akhir misi kemanusian berkenaan sedang giat dilakukan bagi memastikan sumbangan dapat diterima rakyat Palestin. Pembungkusan dan persiapan akhir penghantaran bantuan terbabit sedang disiapkan di Easy Log Air Cargo, Alqastal-Almushatta, Amman, Jordan.
“Sebanyak 10 treler berisi bantuan berkenaan dijangka melintasi sempadan Jordan awal bulan depan atau selewatnya penghujung Januari bagi diagihkan kepada rakyat Palestin,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tambahnya, daripada jumlah itu, RM427,500 meliputi barangan makanan panas selama 14 hari untuk manfaat 35,000 rakyat Palestin dan 9,000 kotak barangan keperluan kesihatan, wanita dan kanak-kanak berjumlah RM753,300.
September lalu, Tabung Kasih Johor-Palestin 2.0 yang dilancarkan pada Julai dilaporkan telah mencapai sasaran kutipan RM2.5 juta.
Mohd Fared dipetik berkata, Johor akan menganjurkan tabung derma itu secara berterusan susulan bantuan di kem pelarian rakyat Palestin, terutama makanan serta barangan keperluan penting, dilaporkan terhad dan tidak mencukupi.
Dalam pada itu, Mohd Fared berkata, Kerajaan Johor berterima kasih kepada rakyat negeri ini dan semua pihak yang menitipkan sumbangan kewangan, idea serta tenaga sehingga usaha memberi bantuan kepada rakyat Palestin berjaya direalisasikan.
Tabung berkenaan digerakkan hampir 3,000 surau dan masjid di seluruh negeri ini yang diarahkan untuk membuat kutipan khas pada setiap Jumaat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.