Tumpuan :
Nasional

Bantuan RM1,300 kepada KIR terjejas banjir di PPS Sabah – Hajiji

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor meninjau dan melawat mangsa banjir di Dewan Datuk Seri Panglima (DSP) Mohd Dun Banir.

Oleh: Safwan Sawi

BEAUFORT: Bantuan tunai sejumlah RM1,300 diberikan kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas banjir yang berada di semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sabah kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Menurut Hajiji RM1,000 adalah dari Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) manakala RM300 dari Kerajaan Negeri melalui Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).

“Kita akan bagi bantuan RM1,300 ini bukan sahaja di Beaufort ini, di Membakut di mana-mana terlibat yang tinggal di PPS”, katanya selepas meninjau dan melawat mangsa banjir di Dewan Datuk Seri Panglima (DSP) Mohd Dun Banir.

Tambah Hajiji selain bakul makanan kepada mangsa terlibat di PPS, Kerajaan Negeri juga ujarnya turut menyediakan bantuan tambahan terhadap KIR yang dikenalpasti sekiranya peruntukan tidak mencukupi.

Hajiji turut berharap keadaan banjir di semua daerah terjejas beransur pulih serta berharap semua keluarga dapat pulang ke rumah masing-masing dalam keadaan selamat.

“Kita pun amat prihatin terutama sekali pada bulan Ramadan mulia ini kerana keadaan kampung mereka yang dilanda dengan banjir sudah tentu mendatangkan sedikit kesusahan dan ketidakselesaan kepada mereka yang terlibat”

“Tetapi syukur Alhamdulillah nampak hari ini cuaca agak baik dan mungkin jawatankuasa di daerah Beaufort akan boleh membenarkan mereka pulang ke rumah masing-masing jika keadaan sudah selamat,” katanya.

Bercakap mengenai langkah jangka panjang banjir di kawasan terlibat jelas Hajiji, pihaknya sudah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di setiap kawasan terlibat untuk membuat kajian risiko banjir dapat diminimumkan seterusnya menilai peruntukan projek bagi kajian terbabit.

“Kita berharap jika semua kajian ini dapat dilengkapkan kita akan menyediakan peruntukan untuk memastikan bahawa aliran sungai dapat parit ini dalam keadaan boleh mengurangkan banjir di masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berpuas hati dengan pengendalian dan pengurusan PPS membabitkan semua agensi terlibat, Kerajaan Persekutuan dan Negeri tambahnya sentiasa cuba memberikan yang terbaik untuk rakyat dalam berdepan situasi banjir ini.

“Tentu sekali kita berpuas hati walaupun tentunya ada juga orang kata ketidakselesaan tetapi inilah yang dapat kita bantu rakyat kita mengalami banjir kampung masing-masing untuk mereka mesti ditinggalkan demi keselamatan mereka.

“Jadi Kerajaan Negeri termasuklah Persekutuan akan membuat apa yang termampu oleh kita untuk membantu mereka yang terlibat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini