Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Bantuan NADMA jalankan pembenihan awan diperlukan bagi elak krisis air di Pulau Pinang

Operasi pembenihan awan. -FOTO: Arkib NSTP

GEORGETOWN: Dalam usaha mengelak krisis air berlaku di Pulau Pinang, kerajaan negeri itu memohon bantuan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi menjalankan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan empangan dengan segera.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) K Pathmanathan berkata, kapasiti efektif empangan Air Itam dan Teluk Bahang menyusut berikutan perubahan iklim dengan taburan hujan sangat rendah ketika ini.

“Pada 1 Januari lalu, kadar efektif Empangan Air Itam merekodkan 82.5 peratus namun ketika ini ia menyusut kepada 49.5 peratus.

“Situasi sama turut dialami di Empangan Teluk Bahang yang merekodkan kapasiti 64 peratus awal tahun lalu kepada 50.7 peratus.

Menurutnya, surat rasmi permohonan bantuan itu sudah dihantar oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pada 30 Mac lalu.

“Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM400,000 bagi pelaksanaan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan air kedua-dua empangan itu, namun tiada syarikat yang boleh memenuhi kriteria dan syarat yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan selain meminta bantuan NADMA untuk campur tangan dan memudahkan pelaksanaan operasi pembenihan awan secepat mungkin.

“Kami berharap NADMA akan mengutamakan dan memenuhi permintaan Pulau Pinang kerana operasi pembenihan awan diperlukan secepat mungkin untuk mencetuskan hujan yang akan mengisi semula kedua-dua empangan itu.

“Pulau Pinang mesti mengelak potensi krisis bekalan air yang boleh menyebabkan penderitaan kepada 1.74 juta orang dan mengganggu aktiviti sosio ekonomi yang menyumbang RM99 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tegar pada 2021,” katanya.

Loading...
Terkini