ALOR SETAR: Kerajaan negeri memberikan bantuan khas sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam negeri ini sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan dan sumbangan mereka.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata bantuan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM10.8 juta kepada 5,600 penjawat awam negeri.
Pembayaran bagi bantuan khas kewangan itu akan dibuat secara berperingkat bulan depan manakala bakinya pada Mac 2024.
Muhammad Sanusi berkata bantuan khas sekali bayar itu juga akan diberikan kepada imam lantikan negeri, pengerusi Majlis Ketua Kampung dan setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK) pada Mac 2024 sebagai bantuan Aidilfitri.
“Kadar bantuan khas one-off ini akan ditentukan kelak,” katanya ketika membentangkan Bajet 2024 di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.