comscore
Tumpuan :
Nasional

Bantuan kemanusiaan ke Gaza siri ketiga selamat tiba di Mesir

KUALA LUMPUR : Bantuan kemanusiaan ke Gaza siri ketiga selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa el-Arish, Mesir kira-kira jam 7.50 pagi Selasa waktu tempatan.

Menurut Sekretariat Ops Ihsan dalam satu kenyataan media memaklumkan, penghantaran barangan bantuan kemanusiaan seberat 60 tan itu berlepas dari I-Secure, MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 2.00 pagi Selasa.

 

“Penerbangan yang mengambil masa selama hampir 11 jam dengan kekuatan 10 orang krew termasuk dua orang petugas media Ops Ihsan itu, membawa sejumlah 60 tan barangan bantuan berbentuk ubat-ubatan, peralatan perubatan, makanan, keperluan bayi dan wanita, serta keperluan musim sejuk yang bernilai RM3 juta.

“Ketibaan pesawat sewaan khas A330-200 MASKargo itu disambut oleh pegawai Pengendalian Darat Lapangan Terbang Antarabangsa el-Arish bersama dengan pegawai Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir. Proses membawa keluar barangan dari perut pesawat mengambil masa selama kira-kira 3 jam,” jelasnya dalam kenyataan itu.

Barangan bantuan berkenaan kemudiannya diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir sebelum dibawa masuk ke Gaza melalui sempadan Rafah.

Ia kemudian akan diagihkan ke hospital-hospital dan masyarakat Gaza dengan bantuan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.

Misi bantuan kemanusiaan siri ketiga itu melibatkan kerjasama Kementerian Luar Negeri (KLN) dan lebih 60 badan bukan kerajaan (NGO).

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini