comscore
Tumpuan :
Nasional

Bantuan bekalan makanan mula diagihkan kepada penduduk Bukit Bendar

Petugas bantuan MAINJ mengguna bot ketika menghantar bantuan kepada penduduk Kampung Bukit Bendar yang terputus bekalan makanan sejak tujuh hari lalu. – FOTO: MAINJ

JOHOR BAHRU: Ratusan penduduk Kampung Bukit Bendar, Bukit Kepong, di Muar, yang terputus hubungan akibat banjir, mula menerima bekalan makanan yang diagihkan, petang semalam.

Penduduk terperangkap, Nor Hazimah Husin, 46, berkata beliau bersama ratusan penduduk kampung yang terperangkap, sudah menerima bekalan makanan yang diagihkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), lewat petang semalam.

Katanya, bantuan bekalan makanan daripada MAINJ itu dihantar secara berperingkat menggunakan bot susulan laluan keluar masuk kampung berkenaan ditenggelami bah sejak tujuh hari lalu.

“Alhamdulillah, selepas rayuan penduduk tular dan disiarkan media semalam, kami telah mendapat bekalan makanan disumbangkan MAINJ.

“Antara bekalan yang dihantar termasuk beras, ayam, telur selain lampin pakai buang.

“Terima kasih semua pihak terutama MAINJ yang prihatin dan segera menghantar bekalan makanan dan keperluan lain,” katanya ketika dihubungi.

Terdahalu, MAINJ menerusi akaun Facebooknya memaklumkan sudah menghantar satu treler bekalan makanan ke kawasan terjejas di Pagoh, Muar terutama Kampung Bendar, menerusi hasil wang zakat umat Islam Johor.

Antara yang diagihkan MAINJ di kawasan itu membabitkan satu tan beras, 100 ekor ayam, 100 papan telur, lampin pakai buang serta keperluan lain untuk penduduk Kampung Bukit Bendar, Bukit Kepong, Muar.

Semalam media melaporkan, ratusan penduduk dari Kampung Bukit Bendar, Bukit Kepong, di Muar, terputus hubungan apabila laluan keluar masuk ke situ ditenggelami air bah sejak enam hari lalu.

Nor Hazimah berkata, kira-kira 60 rumah penduduk kampung itu tidak dinaiki air bah berikutan terletak di kawasan tinggi.

Laluan keluar masuk kampung berkenaan ke laluan utama menuju Bukit Kepong, FELDA Maokil dan Chaah, Segamat, yang berbukit menyebabkan ia ditenggelami air bah dalam dan tidak boleh dilalui kenderaan kecuali bot serta sampan.

Penduduk terperangkap menyifatkan banjir berkenaan lebih buruk dari bencana bah besar 2006 berikutan paras banjir kekal tinggi dan semakin meningkat.

Loading...
Terkini