Oleh : Fatin Hanani Sahimi
PETALING JAYA: Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diteruskan dan pembayaran akan dibuat mulai Januari depan.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, bantuan itu akan disalurkan melalui sekolah seterusnya diagihkan kepada murid secara tunai atau dikreditkan ke akaun mereka.
“Belanjawan 2024 memperuntukkan RM788.1 juta khusus untuk tujuan BAP.
“Bayaran BAP sebanyak RM150 kepada setiap murid secara one-off (sekali bayar) akan memberi manfaat kepada seramai 5,254,200 orang murid,” katanya.
Tambahnya, BAP dapat membantu meringankan beban perbelanjaan ibu bapa dan penjaga dalam menyediakan kelengkapan anak-anak bagi menghadapi sesi persekolahan akan datang.
KPM berkata, orang ramai dinasihatkan untuk merujuk laman web khas Belanjawan 2024 Malaysia MADANI yang disediakan Kementerian Kewangan bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai Belanjawan 2024.
Laman web ini boleh diakses menerusi pautan di bawah: https://belanjawan.mof.gov.my/ms/.