
SIBU: Sebuah institusi kewangan akan diwujudkan di Sarawak bagi membantu usahawan kecil dan sederhana menceburi ekonomi baharu di negeri itu.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata bagaimanapun, beliau tidak dapat mendedahkan perincian lanjut mengenai institusi itu ketika ini namun akan mengumumkannya dalam tempoh dua bulan lagi.
“Saya akan umumkan (perincian) satu institusi yang memberi kemudahan pinjaman dan dana kewangan mengikut lunas ekonomi untuk mereka berusaha dalam ekonomi yang sedang kita bangunkan,” katanya kepada pemberita semasa kunjungan Aidilfitri ke kediaman Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee di sini hari ini.
Beliau berkata apa yang penting ketika ini ialah pendidikan usahawan iaitu sekurang-kurangnya memiliki pengetahuan asas dalam ekonomi bagi membolehkan mereka bergerak ke hadapan.
Katanya Sarawak sedang rancak membangunkan kemudahan infrastruktur di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang dijangka siap sepenuhnya pada 2025.
Abang Johari berkata kemudahan infrastuktur itu akan membantu pembangunan ekonomi baharu yang menekankan kelestarian alam sekitar antaranya penyimpanan karbon ke arah menjadikan Sarawak negeri maju berpendapatan tinggi pada 2030.
Beliau berkata pada masa sama, Sarawak menekankan soal pendidikan dan latihan untuk rakyatnya termasuk usahawan industri kecil dan sederhana agar dapat menceburi bidang ekonomi baharu itu.
“Sebab itu kita telah mengadakan bursari khas (di bawah Yayasan Sarawak) yang kita beri kepada masyarakat bumiputera untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi,” katanya.
Dr Annuar pula berkata Universiti Teknologi Sarawak (UTS) akan mewujudkan satu formula baharu bagi meningkatkan kemasukan pelajar ke universiti itu.
Pengerusi Lembaga Pengarah UTS itu turut menyampaikan cadangan kepada Abang Johari, yang juga Pro Canselor universiti berkenaan, untuk mengadakan program pengajian asasi berkualiti bagi membolehkan pelajarnya diterima melanjutkan pelajaran sama ada di dalam atau luar negara. — BERNAMA