Tumpuan :
Nasional

Bantu B40 jana pendapatan sendiri, bukan terus-menerus bagi tunai – PPIM

Golongan B40 perlu dibantu untuk menjana pendapatan, sebagai contoh melalui perniagaan.

KUALA LUMPUR: Golongan miskin tegar seharusnya dibantu kerajaan untuk menjana pendapatan sendiri, bukannya terus-menerus menyalur sumbangan dalam bentuk tunai kepada golongan itu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan, berkata sumbangan tunai diumumkan melalui Belanjawan 2023 semalam adalah penyelesaian jangka pendek yang hanya akan menjadikan golongan berpendapatan rendah terus-menerus bergantung kepada kerajaan untuk jangka panjang.

Sumbangan tunai juga, katanya, tidak memberi nilai tambah kepada kehidupan golongan berpendapatan rendah kerana apa yang lebih diperlukan sebenarnya adalah inisiatif untuk keluarkan mereka daripada kitaran kemiskinan.

“Sumbangan tambahan RM600 tidak akan bertahan lama. Kerajaan sepatutnya memberi bantuan dalam bentuk lebih produktif yang boleh membantu mereka menjana pendapatan sendiri.

“Sebagai contoh, kerajaan boleh memberi mereka pilihan untuk menjalankan perniagaan kecil penanaman cendawan atau penanaman hidroponik yang tidak membabitkan kos tinggi,” katanya ketika bercakap kepada FMT.

Beliau berkata demikian mengulas pemberian sumbangan RM600 dalam bentuk baucar makanan di bawah inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk mereka yang berada dalam pangkalan data e-Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Melalui belanjawan semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan pemberian sumbangan tunai sehingga RM2,500 bergantung bilangan anak bagi isi rumah berpendapatan kurang RM2,500, yang juga akan diagihkan di bawah STR.

Sementara itu, pengamal perubatan am, Dr Maamor Mansor, memuji inisiatif kerajaan memperkenal Skim Perubatan Madani untuk B40, namun menggesa kerajaan untuk memperluaskan skop perlindungannya.

“Skim itu perlu memberi nilai lebih daripada inisiatif Iltizam Selangor Sihat (ISS) kerajaan negeri Selangor.

“Ia perlu meningkatkan liputannya, menambah lebih banyak klinik panel dan membolehkan penerimanya menjalani pemeriksaan perubatan secara berkala bagi pengesanan awal penyakit,” katanya sambil berharap skim itu dapat dipercepatkan bagi mengurangkan kesesakan di hospital awam.

Skim ini membolehkan golongan miskin mendapatkan rawatan daripada klinik swasta, dengan RM120 juta diperuntukkan untuknya di bawah Belanjawan 2023.

Belanjawan diumumkan semalam adalah yang terbesar dalam sejarah negara dengan peruntukan RM388.1 bilion. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini