Tumpuan :
Nasional

Banteras PATI adalah tugas hakiki Jabatan Imigresen – KP Imigresen

 

Pemandangan dari udara sebuah perkampungan di Nilai Spring yang diserbu Jabatan Imigresen dalam satu Operasi Penguatkuasaan Bersepadu pada 1 Februari lalu.

Putrajaya: “Tiada mana-mana pihak boleh mempersoalkan kewajaran Imigresen melaksanakan operasi membanteras PATI kerana ia adalah tugas hakiki jabatan Imigresen”.

Justeru menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataan yang dikeluarkannya hari ini, pihak luar tiada hak untuk mengganggu atau mencampuri urusan kedaulatan serta undang-undang Malaysia termasuk dalam urusan pengeluaran visa dan pas kepada warga asing untuk tinggal atau bekerja di negara ini.

Kedutaan asing juga tidak mempunyai kuasa mengeluarkan sebarang bentuk Pas bagi membenarkan rakyat mereka menetap di Malaysia walaupun untuk tempoh sementara.

Kenyataan itu sebagai mengulas laporan sebuah portal berita semalam yang memetik kecaman oleh Suruhanjaya Indonesia (Komisi Nasional Hak Asasi Manusia / Komnas HAM) susulan serbuan Imigresen terhadap pekerja asing di sebuah penempatan di Nilai, Negeri Sembilan minggu lalu.

Katanya, fakta yang tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak ialah individu yang ditahan dalam operasi bersepadu di Nilai Spring itu membabitkan golongan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Dalam operasi 1 Februari lalu, seramai 68 individu warga Indonesia diperiksa dan 67 individu berusia antara dua bulan hingga 72 tahun ditahan JIM.

Antara kesalahan dikenal pasti adalah ketiadaan dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Khairul Dzaimee berkata, rakyat Malaysia juga boleh dikenakan hukuman oleh pihak berkuasa negara luar sekiranya mereka melanggar undang- undang Imigresen negara berkenaan.

Justeru katanya, semua pihak perlu menghormati kedaulatan undang-undang sesebuah negara. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini