KUALA LUMPUR: Pengendali aplikasi Telegram sedia membantu kerajaan membanteras apa yang digelar cetak rompak digital membabitkan kandungan tempatan yang dilihat semakin berleluasa di platform terbabit, sejak akhir-akhir ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kesungguhan aplikasi terbabit dibuktikan menerusi pertemuan berkala bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sejak beberapa bulan lalu.
“Kita terima banyak aduan mengenai filem cetak rompak dan diedar melalui aplikasi Telegram.
“Usaha (banteras) memerlukan kerjasama banyak pihak termasuk pemilik hak cipta, pengedar dan pihak kawal selia seperti MCMC.
“Pengurusan Telegram menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama menyelesaikan isu terbabit. Mereka bertemu MCMC secara berkala dan kali terakhir perjumpaan dibuat, April lalu,” katanya ditemui pemberita pada sesi tayangan khas filem Sheriff arahan Syafiq Yusof di sini, kelmarin.
Yang turut hadir pengarah filem Sheriff, pelakon dan tenaga kreatif yang menjayakan naskhah berkenaan.
Sebelum ini, filem Sheriff dilapor mendapat sambutan luar biasa di pawagam dengan meraih RM44.5 juta selepas dua minggu ditayangkan.
Baru-baru ini, kegiatan cetak rompak digital menerusi aplikasi Telegram diperdebatkan selepas pengarah dan penerbit drama prolifik, Shahrulezad Mohameddin meluahkan rasa kecewa apabila naskhah terbaharu arahannya, Khunsa, boleh ditonton di Telegram secara mudah.
Justeru, Shahrulezad dilapor meminta campur tangan Kementerian Komunikasi melalui agensinya, MCMC membantu menangani apa yang dikatakan gejala cetak rompak digital.
Lebih membuatkan dirinya kecewa, melalui siasatan dilakukan sendiri, Shahrulezad dilapor mendapati penonton drama rantaian Khunsa melalui aplikasi Telegram, tidak rasa bersalah, sebaliknya, menganggap perbuatan mereka sebagai perkara biasa.
Fahmi yakin usaha membanteras jenayah siber seperti yang berlaku terhadap drama Khunsa akan membuahkan hasil.
“Saya harap kita dapat pastikan bukan sahaja Telegram, bahkan paltform lain dapat bantu banteras cetak rompak digital.
“Kita juga sedang menambah baik proses dan perkara ini akan ambil sedikit masa. Sebelum ini, mereka perlukan sejumlah dokumen. Justeru, kita akan kurangkan kerenah birokrasi kerana banyak platform seperti ini tidak berpangkalan di Malaysia.
“Ini mungkin menyebabkan mereka tidak faham mengenai undang-undang negara ini. Jadi, MCMC mengusahakan siri perbincangan (dengan pengendali platform) mengenai isu hak cipta,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.