comscore
Tumpuan :
Nasional

Bantah projek ECRL, penduduk Gombak Utara fail injunksi

Sebahagian daripada penduduk yang melakukan bantahan berkaitan isu pengambilan tanah untuk projek ECRL di Sungai Chinchin. – FOTO: NSTP

GOMBAK: Penduduk di 13 kampung dan penempatan di Gombak Utara merancang memfailkan injuksi mahkamah bagi menghalang pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Sungai Chinchin.

Ia membabitkan penduduk dari Desa Mukmin Warisan, Desa Mukmin Permai, Batu 7 Gombak, Sungai Chinchin, Taman Rawiyah Sulaiman Jaya, Batu 8 Gombak Utara, Taman Permai Jaya, Sungai Salak, Desa Makmur, Batu 11 Gombak, Batu 12 Gombak, Kampung Sungai Rumput dan Kem Alang Sedayu.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Mohd Zai Mustafa ketika sidang media bantahan penduduk berkaitan isu pengambilan tanah untuk projek ECRL di Masjid Sungai Chinchin. – FOTO: NSTP

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Mohd Zai Mustafa berkata pihaknya akan mendapatkan seramai mungkin tanda tangan penduduk, wakil penduduk serta badan bukan kerajaan (NGO), pakar sejarah dan ahli akademik bagi menyokong injuksi itu.

“Penduduk sepakat tidak mahu laluan ECRL berkenaan melalui kawasan Gombak Utara kerana kawasan ini padat penduduk dan tidak boleh dipindahkan sewenang-wenangnya,” katanya.

Menurut Mohd Zai, apa yang menjadi persoalan di pihak mereka ialah selain terdapat tanah rizab Orang Asli, kawasan ini juga mempunyai tanah wakaf seluas 13 ekar (5.26091 hektar) yang sudah dijadikan penempatan selama 134 tahun.

Tambahnya, tanah wakaf ini telah mendapat kelulusan pengecualian cukai yang dibuat oleh Sultan Selangor terdahulu dan ia disifatkan mereka sebagai satu pengiktirafan.

Beliau juga mendakwa isu tanah wakaf ini hanya boleh dicabar di mahkamah syariah atau dibawa dalam bentuk injuksi ke mahkamah.

Projek ECRL yang mendapat bantahan penduduk Kampung Sungai Chinchin. – FOTO: NSTP

Beliau berkata demikian pada sidang media ‘Selamatkan tanah warisan Melayu Islam Gombak Utara daripada jajaran ECRL KL – Node Highway’ di dataran Masjid Sungai Chinchin, di sini, hari ini.

Setakat ini katanya, sebanyak 151 buah rumah termasuk 30 buah rumah Orang Asli telah dirobohkan dengan ratusan lagi rumah menanti untuk dirobohkan.

“Apa yang kami tahu setakat ini, yang tiada geran akan dapat hadiah sagu hati manakala yang ada geran akan dapat pampasan tapi ramai pemilik tak setuju,” katanya.

Beliau berkata ini bukan isu politik tetapi mana-mana kerajaan terbabit dalam projek mesti ambil tindakan jelas bahawa mereka mesti membuat satu laluan yang sesuai tanpa melibatkan penempatan penduduk.

“Saya rasa perlu ada jawatankuasa khas untuk menilai semua ini sebelum sesuatu jajaran diambil, bukan lihat dari sudut ekonomi semata-mata sebab melibatkan tanah dan rizab Melayu yang banyak. Mana-mana kerajaan mentadbir mesti dengan jelas pertahan hak istimewa penduduk di sini,” katanya.

Mohd Zai berkata banyak lagi institusi seperti sekolah, masjid, hospital serta berkaitan dengan komuniti masyarakat akan terjejas sekiranya projek berkenaan dilaksanakan.

Sebelum ini media melaporkan beberapa struktur termasuk rumah, bengkel dan tabika Kemas dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek ECRL.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini