Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Timor-Leste menzahirkan rasa simpati dan solidariti kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir yang melanda ketika ini.
Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao berkata, negara itu bersedia untuk menawarkan sokongan kepada Malaysia dalam menangani bencana berkenaan.
“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Timor-Leste, kami mengucapkan takziah kepada keluarga yang mengalami kehilangan dan menawarkan sokongan kami kepada kerajaan Malaysia dalam usaha menangani bencana alam ini dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mesyuarat dua hala di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Xanana Gusmao dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia sehingga esok iaitu kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak menyandang jawatan itu pada 1 Julai tahun lalu.
Berdasarkan info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 12 tengah hari ini, jumlah mangsa banjir di sembilan negeri terjejas adalah seramai 128,870 orang membabitkan 38,888 keluarga.
Sembilan negeri itu ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Pahang, Johor, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.