BATU PAHAT: Situasi banjir di Sri Medan dan Parit Sulong kali ini, yang dianggap terburuk mungkin mengambil masa hingga beberapa bulan untuk surut dan pulih sepenuhnya.
Tinjauan wartawan dan jurugambar BH ke kawasan Kampung Parit Warijo dekat Sri Medan di sini, dengan menaiki bot yang dikemudikan petugas Majlis Perbandaran Batu Pahat, mendapati kampung yang mempunyai lebih 20 gugusan kampung di dalamnya umpama berada di dalam sungai.
Selain rumah penduduk kampung tenggelam dengan kedalaman paras air dua meter, kemudahan dan fasiliti awam seperti rumah ibadat tokong, masjid, tadika kemas dan pusat sukan juga ditenggelami air.
Hasil pemerhatian lebih dua kilometer perjalanan menyelusuri ‘sungai’ Kampung Parit Warijo, mendapati lebih 100 kenderaan termasuk motosikal dan kereta ditenggelami air banjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan, berkata, kedudukan Sri Medan yang agak rendah dan seperti menjadi kawasan takungan selain berhampiran Empangan Sembrong, Empangan Bekok dan Sungai Lenik, Chaah.
“Penduduk Sri Medan sudah menjangkakan akan berlaku banjir, tetapi tidak menjangka paras banjir naik secepat dan setinggi seperti sekarang, jadi banjir termenung ini mungkin memakan masa berbulan untuk surut.
“Kita juga berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang meluluskan peruntukan sebanyak RM42 juta bagi mendalamkan Sungai Simpang Kiri dan membina lapan rumah pam.
“Tujuan membina rumah pam ini bagi mengeluarkan air daripada kebun-kebun. Insya-Allah difahamkan bulan Jun nanti projek ini akan ditenderkan dan sebelum akhir tahun projek akan berjalan.
“Sebenarnya proses membersih dan dalam sungai ini kalau tidak silap saya sudah diperkatakan 15 tahun lalu, ini satu daripada faktor yang menyebabkan air tidak dapat mengalir keluar dari kawasan Sri Medan,” katanya ditemui selepas meninjau mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Medan di sini, hari ini.
Zulkurnain juga menjadi mangsa banjir selepas kediamannya yang terletak di Parit Sulong dinaiki air hingga ke paras pinggang berkata, tidak dapat dinafikan kedegilan sebahagian penduduk untuk keluar selepas diarah berbuat demikian menyukarkan operasi menyelamat dijalankan.
“Dalam keadaan yang kelam-kabut kerana perlu pindahkan ramai mangsa banjir dalam masa singkat dan membuka PPS dan kita tidak jangka ada kenaikan paras air tinggi memandangkan program tebatan banjir yang dibuat.
“Tetapi malangnya berlaku kenaikan paras air yang agak luar biasa. Amaran dan peringatan awal sudah dibuat pihak berkuasa mengenai kelajuan dan kenaikan paras air supaya penduduk kampung berpindah.
“Namun malangnya ada yang tidak berpindah namun apabila berlaku situasi itu (kenaikan mendadak, penduduk masih berada di dalam rumah) pihak berkuasa keselamatan seperti polis, ATM, APM dan JBPM terpaksa menggerakkan logistik untuk beri bantuan menyelamatkan nyawa,” katanya.