comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir: Tabika dinaiki air ditutup dua hari, tiada kejadian buruk – KEMAS

Sekumpulan 21 murid dan empat guru taman Tabika KEMAS di Kampung Klang Gate, menempuh detik cemas apabila bilik darjah mereka dinaiki banjir kilat susulan hujan di Lembah Klang, sejak awal pagi tadi. – Foto tular

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) hari ini mengesahkan tiada kejadian buruk berlaku di sebuah taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) KEMAS yang tular selepas dinaiki air.

KEMAS berkata, mereka kini sudah mengambil langkah-langkah keselamatan mengikut prosedur Persediaan Menghadapi Musim Tengkujuh Bagi Tabika dan Taska KEMAS daripada Bencana Alam (Banjir) Pertama.

Tabika Klang Gate, Gombak dan Tabika KEMAS Jalan Hulu Klang, Batu 8, Ampang, akan ditutup selama dua hari mulai esok dan sesi pembelajaran akan dibuka semula pada Khamis.

“Ia bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan dan pemulihan premis Tabika yang terjejas untuk menjamin keselamatan kanak-kanak dan kakitangan apabila ia dibuka semula.

“Kedua, pembaikan peralatan yang terjejas melalui penilaian kerosakan akibat banjir. Semua keperluan akan dipenuhi supaya sesi pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

“Ketiga, kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menilai keadaan sistem saliran di sekitar kawasan terbabit dan mengambil langkah-langkah pencegahan, termasuk memperbaiki sistem perparitan bagi mengelakkan kejadian banjir berulang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keempat, KEMAS berkata, mereka akan mengambil langkah mencegah dan mengawal penyakit berjangkit dengan mendapatkan nasihat daripada Pejabat Kesihatan.

“Terakhir, pengurusan krisis dan respons cepat diaktifkan terhadap pengumuman Jawatankuasa Bencana Alam Negara dan Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca dari semasa ke semasa,” katanya.

Katanya, KEMAS sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak di bawah seliaan mereka.

“Kami akan terus memantau keadaan dan mengambil langkah sewajarnya jika insiden yang sama berlaku pada masa akan datang,” katanya.

Hari ini, tular satu video menyaksikan kanak-kanak terpaksa berdiri di atas meja selepas kelas mereka dinaiki air susulan kejadian banjir kilat di sekitar ibu negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini