GUA MUSANG: Suar berwarna akan digunakan sebagai isyarat meminta bantuan jika mangsa banjir terputus hubungan untuk berkomunikasi dengan pihak luar.
Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Nik Raisnan Daud, berkata langkah proaktif itu disediakan bagi keperluan penduduk sekiranya terperangkap di atas bukit selama lebih seminggu tanpa mendapat bantuan awal.
Beliau yang juga Ketua Jajahan Gua Musang berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan melalui laluan udara bagi mengesan keberadaan mangsa dengan suar digunakan ketika itu.
“Dua warna akan digunakan, iaitu kuning dan merah. Asap berwarna kuning memberi isyarat bahawa mangsa terjejas banjir telah kehabisan bekalan makanan, manakala merah bermaksud ada kematian.
“Pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah dimaklumkan lokasi pendaratan dan bukit yang dikenal pasti sebagai tempat untuk berlindung,” katanya kepada pemberita di Anjung Marina, Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, di sini, hari ini.
Nik Raisnan berkata, taklimat awal juga sudah diberikan kepada penggawa dan penghulu berhubung perkara berkenaan.
“Kita akan cuba menyampaikan bantuan melalui darat terlebih dahulu sebelum menggunakan jalan udara kerana pergerakan helikopter akan bergantung pada keadaan cuaca semasa.
“Kita di peringkat negeri sudah dimaklumkan semua kawasan mendarat (landing point) yang perlu. Berdasarkan bencana pada 2014, kawasan mendarat semuanya tenggelam. Jadi, kita perlu ada tiga kawasan mendarat alternatif,” katanya.
Nik Raisnan berkata, pihaknya menyediakan peralatan menghadapi banjir seperti khemah, dapur, cangkul, lampu suluh, periuk dan lilin, yang digunakan apabila air meningkat secara mendadak.
“Bekalan makanan asas juga disediakan kepada penduduk yang terpaksa bergerak ke atas bukit. Kita telah memastikan bekalan terbabit mencukupi untuk tempoh seminggu,” katanya.
Sebelum ini, Nik Raisnan dilaporkan berkata, 13 kawasan berbukit di sekitar Gua Musang dijadikan tempat pemindahan penduduk yang dilanda bencana banjir ketika Monsun Timur Laut jika pusat pemindahan sementara (PPS) ditenggelami air. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.