Tumpuan :
Nasional

Banjir: Solat hajat di masjid dan surau  seluruh negara – Mohd Naim

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar memohon agar masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat hajat dalam masa terdekat bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan untuk negara dan seluruh mangsa yang terjejas akibat banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat bersimpati dan sedih akan musibah yang menimpa mangsa banjir di beberapa negeri yang terkesan sejak beberapa hari lalu.

Penduduk Kampung Siram, Rantau Panjang terpaksa berpindah ke pusat pemindahahan sementara akibat banjir. – Foto: NSTP



“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memohon masjid dan surau di seluruh negara dapat mengadakan solat hajat mendoakan keselamatan dan kesejahteraan untuk negara dan seluruh mangsa yang terjejas. 

“Semoga seluruh mangsa diberikan ketabahan dengan dugaan yang dihadapi ketika ini,” jelasnya dalam satu kenyataan media.

Dari sudut bantuan jelasnya, beliau telah mengarahkan agensi-agensi dan seluruh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk bekerjasama membantu mangsa banjir yang terkesan menerusi tabung bantuan sedia ada.

Tambah Mohd Naim, beliau juga telah menyingkatkan lawatannya di Aceh,Indonesia dan akan turun melawat mangsa-mangsa terjejas di beberapa negeri hari ini. 



“Saya telah mengarahkan agensi-agensi dan seluruh jentera Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa selain turun dan membantu mangsa-mangsa banjir menerusi tabung bantuan sedia ada.

“Saya juga akan bersama agensi-agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk meninjau dan membantu saudara- saudara kita yang terkesan di negeri-negeri terjejas. 

“Hari ini saya akan tiba di Kuala Lumpur setelah selesai urusan lawatan ke Dayah Madani, Acheh, Indonesia bagi memperkukuh kerjasama antara dua negara terutama melibatkan umat Islam dua negara serumpun.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan terutamanya pihak berkuasa dan pasukan penyelamat yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir di negeri-negeri terkesan.

Loading...
Terkini