KUANTAN: Kerugian lebih RM280,000 ditanggung 13 pekebun sayur fertigasi di Ulu Dong, Raub selepas projek tanaman mereka ditenggelami banjir Disember tahun lalu.
Pekebun kerugian antara RM3,000 hingga RM80,000 selepas beg semaian tanaman antaranya seperti timun, terung dan cili fertigasi musnah dibawa arus deras banjir yang berlaku beberapa jam selepas hujan lebat.
Pengarah Jabatan Pertanian Pahang, Muhd Rizal Baharom berkata, arus air yang deras membawa bersama beg semaian yang digantung, terdapat beberapa kes tiang para tumbang menyebabkan beg semaian jatuh dan hanyut.
Katanya, 13 pekebun telah menyerahkan borang bancian kerosakan disebabkan banjir kepada Pejabat Pertanian Daerah Raub dalam tempoh dua minggu selepas banjir berlaku.
Lawatan ke kebun yang musnah turut dilakukan oleh pegawai pertanian selepas banjir berlaku bagi menilai kemusnahan ditanggung.
Menurutnya, pekebun yang projek pertanian mereka musnah dan menyebabkan kerugian layak menerima bantuan kerajaan berupa pelbagai imput pertanian diperlukan seperti baja, racun, tali, dawai, kereta sorong dan bakul.
“Jabatan mendapati daerah Raub mencatat jumlah tertinggi kemusnahan kebun sayur disebabkan bencana banjir akhir tahun lalu, walaupun banjir berlaku tidak lama, namun disebabkan arus air deras banyak kerosakan berlaku.
“Pekebun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan bagi membaiki kerosakan peralatan seterusnya untuk memulakan aktiviti menanam semula,” katanya, dihubungi di sini semalam.
Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah Raub, Raja Mohamad Farhan Hashim mengesahkan kebun sayur di Mukim Gali, Dong dan Ulu Dong terjejas selepas ditenggelami banjir bersama air yang deras.
Katanya, terdapat lebih 1,000 pekebun mengusahakan pelbagai tanaman sayur di daerah ini, seperti timun, terung, cili, peria dan kacang panjang sama ada fertigasi atau atas tanah.
“Banjir yang berlaku akhir tahun lalu tidak diduga, kawasan yang sebelum ini tidak ditenggelami banjir berlaku sebaliknya. Faktor hujan lebat selama beberapa jam menyebabkan air beberapa sungai melimpah.
“Seorang pekebun, Zamri Othman yang mengusahakan kebun di Kampung Pamah Rawas, Ulu Dong, kerugian lebih RM80,000 selepas kira-kira 10,000 beg semaian timun fertigasi yang diusahakannya musnah ditenggelami banjir,” katanya.
Tambahnya lagi, kejadian menimpa pekebun terbabit diharapkan tidak melemahkan semangat mereka untuk terus mengusahakan projek pertanian yang diusahakan sebelum ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.