ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta keluarga terpaksa berpindah ke tempat yang lebih selamat selepas kediaman rasminya di Seri Mentaloon semakin ditenggelami air.
Pegawai Khas Media Menteri Besar, Helmi Khalid berkata keputusan itu dibuat selepas paras air di rumahnya semakin meningkat mulai pagi tadi.
Katanya, paras air petang ini sudah menghampiri satu meter kesan daripada limpahan Sungai Anak Bukit yang terletak di belakang Seri Mentaloon.
“Paras air mulai meningkat mulai pagi tadi, petang ini paras air di kediaman Menteri Besar sudah paras pinggang (hampir satu meter) .
“Menteri Besar membuat keputusan untuk berpindah lebih awal tengah hari tadi ke tempat yang lebih selamat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Helmi bagaimanapun tidak menyatakan lokasi Muhammad Sanusi dan keluarganya berpindah.
Menerusi video Tik Tok yang dikongsi Helmi, Muhammad Sanusi kelihatan menggendong anak perempuannya keluar daripada kediaman itu.
Manakala isterinya Tok Puan Seri Jusmalailani Jusoh dan anak-anaknya yang lain turut mengangkat beg.
Semalam, media melaporkan kediaman rasmi Menteri Besar setinggi dua tingkat ditenggelami air sejak pagi.
Kediaman rasmi berkenaan terletak hanya tidak sampai 100 meter dari tebing Sungai Anak Bukit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.