Tumpuan :
Nasional

Banjir Sabah beransur pulih, beberapa PPS sudah ditutup

Oleh: Safwan Sawi

BEAUFORT: Situasi banjir di Sabah beransur pulih dengan penutupan sepenuhnya beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) namun tindakan waspada, berhati-hati serta pemantauan semasa tetap diambil kira.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tenom, Mas Syazwan Masood berkata, 12 PPS di daerah Tenom telah diisytiharkan ditutup sepenuhnya.

“Langkah itu diambil selepas pemeriksaan kawasan dan rumah Penduduk Terjejas Bencana (PTB) selamat untuk didiami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat 5 petang tadi, jumlah mangsa banjir menurun kepada 3,230 orang daripada 1,104 keluarga berbanding tengah hari tadi iaitu 4,530 orang daripada 1,488 keluarga.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, jumlah daerah Beaufort kekal merekodkan jumlah paling ramai dengan 1,719 mangsa daripada 556 keluarg, diikuti 914 orang daripada 312 keluarga di Membakut masing-masing mencatatkan angka kekal sama dengan rekod tengah hari tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia setakat petang tadi pula meramalkan cuaca baik sehingga lewat petang ini di semua bekas kawasan daerah di Sabah terjejas banjir.

Tinjauan siang tadi mendapati, masih terdapat beberapa kawasan tidak dapat dilalui, namun dijangka reda sepenuhnya berikutan keadaan cuaca baik sepanjang hari ini.

Beaufort antara daerah terjejas teruk sejak banjir melanda daerah itu Jumaat lalu dan kini rata-rata penduduk yang ditemui lega dengan keadaan cuaca cerah dengan harapan banjir surut sepenuhnya di kawasan mereka.

Tinjauan laluan dari Kampung Klias Baru, Kampung Pintas dan Kampung Kubu untuk ke Pekan Beaufort ini antara laluan kenderaan yang masih ditutup, namun penduduk mendakwa keadaan bertambah surut berbanding lima hari sebelumnya.

Penduduk Kampung Klias Baru, Mohd Bahrin Ali, 57, berkata mujur kenderaannya tidak rosak melalui jalan terbabit, walaupun air masih belum surut sepenuhnya sekali gus membolehkannya untuk membeli barang keperluan harian di pekan.

“Ini jalan surut sudah boleh dilalui, kalau tidak surut tidaklah dapat dilalui terpaksa duduk di rumah sahaja. Alhamdulillah keluarga semua sihat,” katanya.

Di sekitar pekan pula, terdapat perkhidmatan gerabak kereta api terhenti akibat laluan trek masih dinaiki air, begitu juga dengan sekolah berhampiran Klinik Ibu dan Anak Beaufort.

Tinjauan juga mendapati kesempatan cuaca cerah dan keadaan banjir mula surut dimanfaatkan kakitangan klinik berkenaan untuk membersihkan premis terjejas.

“Petang semalam laluan berdekatan klinik sudah surut dan boleh dilalui, tetapi ada tempat lain masih lagi macam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Paul, dekat sini airnya masih bertahan. Nasib di jalan ini kami boleh lalu ke klinik,” kata kakitangan Klinik Ibu dan Anak Beaufort, Nancy Kaping, 50 yang ditemui di sini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini