comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir Sabah: Bantuan RM1,000 kepada ketua isi rumah terjejas – Hajiji

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Ahli Parlimen Penampang yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick membuat tinjauan dan melawat mangsa banjir di PPS Dewan Kebudayaan Penampang, di sini, hari ini.

Oleh: Safwan Sawi

PENAMPANG: Kerajaan Negeri Sabah mengumumkan bantuan sebanyak RM1,000 kepada ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir di sekitar daerah Penampang.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata bantuan itu akan disalurkan kepada mangsa terlibat secara berperingkat yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Saya berkesempatan dengan wakil rakyat di sini Yang Berhormat Datuk Ewon selaku menteri persekutuan kita bersama-sama pada pagi ini untuk meninjau dan melihat sendiri keadaan mangsa-mangsa banjir yang di tempatkan di Pusat Kebudayaan Penampang ini.

“Kerajaan Negeri amat prihatin dan bersimpati dengan mangsa-mangsa ini dan kerana itu kita bersedia untuk membantu mereka yang datang pusat pemindahan sementara ini dengan bantuan RM1,000 setiap keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan dan melawat mangsa banjir di PPS Dewan Kebudayaan Penampang, di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Penampang yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Selain bantuan RM1,000 jelas Hajiji, Kerajaan Negeri juga akan memikirkan bantuan lain seperti membaiki kerosakan dapur dan lain-lain yang berkaitan seterusnya perkara itu akan dinilai kelak memandangkan semua mangsa masih berada di PPS.

Sementara itu Hajiji turut menegaskan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pihak terlibat supaya kerap membersihkan saliran serta perparitan agar bencana banjir dapat diatasi sebaik mungkin.

“Selain kita mencari jalan bagaimana kita mengatasi banjir ini mungkin parit-parit yang tersumbat kita minta pihak berkuasa tempatan parit dan saliran bersihkan parit-parit yang ada di sekitar pekan bukan sahaja di Penampang, di Donggongan ini tapi di daerah lain kerana kita akan menghadapi musim hujan sudah ini jangan sudah hujan baru kasi bersih parit jadi bersih sekarang,

“Supaya banjir kilat ini dapat kita atasi masalahnya kalau hujan terlampau kuat memang itu di luar kekuasaan kita tetapi kita kena bersedia, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan pengairan dan saliran, Jabatan Kerja Raya (JKR) pejabat daerah dan sebagainya,” katanya.

Mangsa banjir di Penampang meningkat kepada 162 orang daripada 60 keluarga setakat tengah hari ini berbanding 112 orang daripada 40 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan semua mangsa banjir itu ditempatkan di PPS Dewan Kebudayaan Penampang yang dibuka sejak semalam.

Dalam pada itu, banjir turut melanda Putatan dengan menyaksikan 36 mangsa daripada 11 keluarga dipindahkan di PPS kedua yang diaktifkan di Dewan Sri Putatan sejak 1 pagi semalam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini