Oleh Vinsla Santiran
PUTRAJAYA: Anggaran nilai kerosakan sektor agromakanan akibat banjir semasa Monsun Timur Laut (MTL) melebihi RM177 juta dengan sektor pertanian merupakan antara yang paling terjejas.
Datuk Seri Mohamad Sabu berkata jumlah petani yang terkesan adalah seramai 15,456 orang di seluruh negara.
“Data berkenaan adalah berdasarkan laporan dari 27 Nov lepas sehingga 2 Dis dengan anggaran luas kawasan terjejas adalah seluas 28 ribu hektar dengan paling tinggi membabitkan sawah padi di Kelantan, Kedah serta Terengganu.
“Sektor perikanan dan ternakan turut terjejas, maka kita akan berusaha membantu mereka yang terjejas mengikut skim yang ada di bawah kementerian selain daripada bantuan melalui agensi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan agensi lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Skuad Ihsan MADANI Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di sini, hari ini.
Mohamad berkata, KPKM menyediakan mekanisme bantuan iaitu Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) bagi pesawah padi dan Tabung Bencana Pertanian (TBP) bagi pengusaha tanaman selain padi.
“Selain itu, KPKM mengenalkan Skim Takaful Tanaman Padi yang mula dilaksanakan pada 13 September lalu bagi melindungi tanaman padi daripada pelbagai risiko termasuklah bencana banjir.
“Kadar pemberian bantuan berdasarkan usia tanaman padi iaitu RM1,800 sehektar bagi usia padi melebihi 71 hingga 120 hari, manakala RM876 sehektar bagi peringkat tanaman satu hingga 70 hari.
“Jumlah bantuan terhad kepada kawasan musnah seluas tiga hektar sahaja bagi satu musim penanaman,” katanya.
Menurut laporan awal keseluruhan kerosakan bencana mengikut negeri, Kedah mencatatkan angka kerugian tertinggi iaitu lebih RM97 juta, diikuti Kelantan lebih RM30 juta dan Terengganu lebih 13 juta.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.