Tumpuan :
Nasional

Banjir: Polis buka kertas siasatan berhubung panggilan palsu

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang media ketika hadir lawatan kerja di Pondok Polis Repek, Pasir Mas. – FOTO: NSTP

PASIR MAS: Polis akan membuka kertas siasatan terhadap kes panggilan palsu berkaitan banjir yang dibuat individu tertentu ketika gelombang pertama banjir baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata ini kerana sebanyak 114 panggilan palsu diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas baru-baru ini.

Katanya, bukan hanya di Kelantan sebaliknya panggilan palsu turut terdapat di negeri banjir yang lain.

“Saya tegaskan di sini kita akan mengambil tindakan terhadap perbuatan mereka yang membuat panggilan palsu mengikut Seksyen
Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Seksyen berkenaan memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.

“Buat masa ini kita fokus kepada banjir dahulu dan selepas ini kita akan membuka kertas siasatan berkaitan laporan palsu itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Pos Kawalan Operasi Bencana Banjir PDRM Daerah Pasir Mas, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan individu tertentu supaya menghentikan perbuatan yang tidak berfaedah itu.

“Perbuatan itu menyusahkan pihak pasukan keselamatan kerana apabila kita ke lokasi, ianya tiada sebagaimana dakwaan.

“Tindakan yang diambil ini juga supaya menjadi pengajaran kepada mereka,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 114 panggilan palsu diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas berkaitan banjir ketika gelombang pertama.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, selepas petugas diatur gerak ke lokasi sebagaimana dilaporkan, pihaknya mendapati tiada rumah di lokasi berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini