KUALA LUMPUR: PKR memutuskan untuk menangguhkan Kongres Nasional 2024 yang dijadualkan Disember ini ekoran banjir di beberapa negeri ketika ini.
Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dicapai pada mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat parti itu yang berlangsung hari ini.
“Menyedari bahawa isu banjir dijangka berterusan, pimpinan telah memutuskan bahawa Kongres Nasional PKR 2024 ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumum kemudian.
“Pada masa sama, Kongres Khas bagi meminda Perlembagaan parti akan diadakan secara hibrid pada tarikh yang akan diumum oleh Setiausaha Agung PKR,” menurutnya dalam kenyataan di sini.
Kongres Nasional PKR 2024 dijadual berlangsung pada 15 Dis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor manakala Kongres Angkatan Muda Keadilan dan Wanita ditetapkan sehari sebelum itu di lokasi berbeza.
Fahmi berkata PKR turut merakamkan ucapan takziah kepada lebih 131,000 mangsa banjir yang melanda sembilan negeri setakat ini.
“Pimpinan bersetuju agar anggota cabang PKR dikerah untuk segera membantu mangsa banjir termasuk untuk pembersihan pascabanjir kelak,” katanya.
Selain Kelantan yang paling teruk terkesan bencana itu, banjir turut melanda Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Perlis, Johor, Melaka, Perak dan Selangor.
Menerusi kenyataan sama, beliau berkata mesyuarat itu juga membincangkan isu buli di sekolah dan institusi pengajian tinggi yang semakin menggusarkan serta menarik perhatian kebelakangan ini.
“PKR mencadangkan agar beberapa perkara dasar diteliti segera termasuk kempen kesedaran buli dilaksana secara menyeluruh,” katanya.
— BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.