Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Banjir: Pihak berkuasa lepaskan air di empat empangan di Johor selepas catat paras bahaya

Empangan Sungai Sembrong – FOTO Ihsan JPS

KLUANG: Pihak berkuasa sudah melepaskan air di empat empangan iaitu di Empangan Bekok serta Empangan Sembrong di Batu Pahat dan Empangan Machap di Kluang dan Labong, Endau Mersing.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, sehubungan itu meminta rakyat bersabar kerana kerajaan sedang mengambil langkah sewajarnya bagi menjaga keselamatan rakyat dan mengelakkan bencana yang lebih besar.

Beliau berkata, Empangan Sembrong dan Empangan Bekok mencatatkan paras bahaya pada jam 7.30 pagi ini.

“Di Empangan Sembrong, aras takungan air semasa menunjukkan bacaan 12.18 meter (m) berbanding paras normal, 8.50m.

“Sementara di Empangan Bekok, aras takungan air semasa menunjukkan bacaan 20.75m berbanding paras normal, 16m,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video menunjukkan air Empangan Bekok didakwa dilepaskan sehingga mengundang kerisauan orang ramai.

Turut tular, mesej di aplikasi WhatsApp mengenai kawasan yang bakal terjejas akibat pelepasan air Empangan Bekok iaitu Yong Peng, Sri Medan, Parit Yaani, Parit Sulong, Sri Gading dan Parit Raja.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini