comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir: Penduduk Rantau Panjang panik serbu kedai runcit

BANJIR KELANTAN
Pekan Rantau Panjang dinaiki air sehingga 0.5 meter (m) sejak awal pagi tadi, susulan limpahan Sungai Golok dan hujan lebat. – Foto NSTP

RANTAU PANJANG: Bimbang barangan keperluan tidak cukup, kedai runcit di Pekan Rantau Panjang di sini diserbu penduduk yang panik selepas air naik mendadak di kawasan itu sejak awal pagi tadi.

Orang ramai dilihat berpusu-pusu ke kedai untuk membeli barangan seperti lilin sebagai persediaan jika elektrik dimatikan, selain makanan seperti telur, tepung dan beras.

Peniaga, Asnah Rashid, 42, berkata biasanya kedai runcit miliknya dibuka pada jam 9 pagi, tetapi hari ini seawal jam 7 pagi, memandangkan ramai yang meminta untuk membeli barangan keperluan.

“Majoriti pembeli adalah penduduk tempatan yang mengakui tidak menyangka air naik dengan cepat menyebabkan mereka panik kerana tidak menyediakan bekalan daripada awal.

“Setakat ini bekalan masih mencukupi tetapi jika masih ramai lagi pengunjung yang datang berkemungkinan juga ia akan habis.

“Saya sendiri datang awal pagi ke kedai untuk mengangkat barangan jualan ke tempat yang lebih tinggi susulan bimbang akan ditenggelami banjir,” katanya ketika ditemui di kedai runcit miliknya di pekan Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Sementara itu, pembeli, Farah Amira Razak, 28, berkata dia terkejut kerana kediamannya berdekatan pekan itu dinaiki air dengan sangat cepat.

“Kebetulan, beras serta minyak masak juga sudah habis. Biasanya kami sekeluarga tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), bekalan ini sangat penting selain risau ia berlarutan dalam tempoh masa yang lama,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini