comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir: Pelajar terjejas dibenar berpakaian biasa ke sekolah – JPNT

Penduduk mengalihkan kayu yang hanyut selepas air mulai surut di Kalang Warisan, Kampung Pulau Manis, Serada, Kuala Terengganu.- FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Pelajar yang terjejas akibat banjir diberi kelonggaran untuk hadir ke sekolah dengan berpakaian biasa apabila sesi persekolahan bermula Selasa ini.

Timbalan Pengarah  Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) (Sektor Pengurusan Sekolah), Azman Othman @ Abdullah, berkata pihaknya memahami kesukaran yang dihadapi mangsa banjir dan akan berusaha untuk meringankan beban mereka.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya memastikan anak mereka tetap hadir ke sekolah dengan berpakaian biasa untuk sementara waktu.

“Saya ingin berpesan kepada mana-mana murid yang terkesan dengan banjir supaya hadir ke sekolah walaupun dalam keadaan berpakaian biasa sekiranya pakaian mereka musnah semasa banjir.

“Begitu juga jika alat tulis atau buku rosak, mereka tidak perlu bimbang… cuma hadir ke sekolah. Sekiranya buku teks musnah boleh lapor kepada guru kelas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Azman berkata operasi pembersihan sekolah yang terjejas banjir  giat dijalankan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing dengan bantuan komuniti setempat.

Beliau berkata banjir gelombang ketiga yang bermula 24 Disember lalu telah menjejaskan 32 sekolah terutama di daerah Hulu Terengganu, Dungun dan Setiu.

“Selain itu, lima lagi sekolah masih beroperasi sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Ia termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mentangau; SK Tanjung Pati; SK Padang Pulut; SK Delong di Dungun dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang, Marang,” katanya.

Menurut sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, setakat jam 10 pagi tadi, keadaan banjir di Terengganu hampir pulih sepenuhnya dengan hanya 733 mangsa daripada 198 keluarga masih berasa di 13  PPS di daerah Marang, Kuala Nerus dan Dungun. – BERNAMA

Loading...
Terkini