KUALA LUMPUR: Pelajar terjejas akibat banjir di beberapa negeri termasuk yang masih di pusat pemindahan sementara (PPS) dibenarkan hadir ke sekolah minggu depan tanpa memakai pakaian seragam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kelonggaran itu diberi kerana pihaknya tidak mahu membebankan ibu bapa dengan mewajibkan mereka membeli pakaian seragam anak sedangkan masing-masing terkesan dengan bencana.
Pendekatan itu diambil bagi mengelak berlakunya keciciran pendidikan dalam kalangan pelajar khususnya yang terkesan dengan banjir di beberapa negeri.
“Ibu bapa tidak perlu risau mengenai persiapan sekolah terutamanya membabitkan buku teks yang musnah akibat banjir kerana KPM akan bantu dari semasa ke semasa mengikut keperluan.
“Bagi PPS yang masih dibuka di sekolah, kelas juga akan diadakan di sekitar ruangan itu meskipun pelajar tidak memakai uniform sekolah.“Anak-anak tidak boleh ketinggalan pelajaran kerana isu baju sahaja,” katanya sambil menambah tarikh buka sekolah masih dikekalkan termasuk bagi kawasan terjejas banjir.
Beliau berkata demikian ketika temubual bertemakan ‘Kembali ke Sekolah’ yang disiarkan sebuah radio tempatan, hari ini.
KPM menyediakan 18 inisiatif kewangan bagi membantu murid terjejas banjir menjelang sesi pembukaan sekolah yang dijadual bermula 19 dan 20 Mac ini.
Fadhlina juga memaklumkan KPM sudah mengeluarkan surat arahan umum kepada semua institusi pendidikan di bawahnya untuk tidak mengadakan sebarang kelas akademik pada minggu pertama persekolahan.
Beliau berkata, arahan itu pertama kali dikeluarkan KPM bagi meningkatkan interaksi dan suai kenal antara guru dan pelajar pada minggu pertama persekolahan.
Ia selaras pendekatan KPM iaitu konsep ‘anak baik dan cerdik’ di samping untuk mengelakkan tekanan dalam kalangan pelajar pada awal sesi persekolahan.
“Pada minggu pertama, kita menggalakkan guru tingkatkan nilai murni serta membiasakan pelajar dengan suasana pembelajaran yang baik.
“Selain itu, kita beri ruang kepada ibu bapa, penjaga dan komuniti untuk temankan anak di sekolah pada minggu pertama terutamanya pada hari pertama sekolah dibuka,” katanya. – BERITA HARIAN