Tumpuan :
Nasional

Banjir: Masjid, surau diseru adakan solat hajat doakan kesejahteraan

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Tiga masjid di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diminta untuk mengadakan solat hajat selepas solat Isyak malam ini dan selepas solat Jumaat esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan buat negara serta seluruh mangsa yang terjejas akibat banjir yang melanda ketika ini.

Tiga masjid itu ialah Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya.

“Pada masa sama, masjid dan surau Jumaat di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut diminta untuk mengadakan solat hajat pada waktu tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, beliau turut memohon jasa baik masjid dan surau di seluruh negara untuk mengadakan solat hajat.

Pada masa sama, Mohd Na’im menyeru semua pihak untuk sentiasa berhati-hati dan mematuhi arahan pihak berkuasa dalam situasi bencana itu.

“Semoga seluruh mangsa diberikan ketabahan dengan dugaan yang dihadapi ketika ini,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan terutama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta seluruh agensi yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini