KUALA TERENGGANU: Mangsa banjir di Terengganu menurun kepada 4,897 orang membabitkan 1,191 keluarga setakat jam 2 petang ini.
Kesemua mangsa ditempatkan di 20 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kemaman dan Dungun.
Ia menunjukkan sedikit penurunan berbanding seramai 5,853 mangsa banjir daripada 1,449 keluarga yang berada di 30 PPS pagi tadi.
Berdasarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, secara keseluruhan, pengurangan mangsa banjir berlaku di kedua-dua daerah apabila penduduk yang terjejas dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing secara berperingkat.
Di Kemaman, jumlah penduduk yang terjejas menurun kepada 4,526 mangsa (1,102 keluarga) di 13 PPS petang ini berbanding 5,452 mangsa (1,356 keluarga) di 22 PPS pagi tadi.
Jumlah mangsa banjir di Dungun juga menurun kepada 371 mangsa membabitkan 89 keluarga di tujuh PPS berbanding sebelum ini seramai 401 mangsa (93 keluarga) di lapan PPS.
Ketika ini, keadaan cuaca di kebanyakan tempat di Terengganu cerah.
Sementara itu, hanya satu sungai melepasi paras amaran manakala dua lagi direkodkan melepasi paras waspada.
Berdasarkan data daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman melepasi paras amaran dengan bacaan 3.85 meter melepasi paras normal 1.4 meter.
Dua lagi sungai yang melepasi paras waspada adalah Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu (10.99 meter) dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun (10.14 meter).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.